Fauziah Latiff: Kalau Ada Jodoh, Adalah....
KUALA LUMPUR, 12 JULAI 2011: Pada awalnya, agak sukar untuk meminta Fauziah Latiff, 41, berbicara tentang soal isu jodohnya. Namun, akhirnya penyanyi yang mesra disapa sebagai Jee ini, sudi berbicara.
"Kalau ada, adalah...Kalau tak ada lantaklah". Itulah jawapan ringkas yang diberikannya tatkala diwawancara murai.com.my. Malah, bu kepada 2 orang anak iaitu Jeffrey dan Jeremy Indot ini juga agak terbuka apabila diajak berkongsi cerita tentang kehidupannya kini.
Kata Fauziah Latiff, dia kini sedang berehat seketika daripada apa-apa kegiatan yang melibatkan bidang seni lakonan dan nyanyian.
"Alhamdulillah, sekarang ini apa yang Jee mahu semuanya sudah Jee peroleh. Apa lagi yang Jee mahukan lagi ye? Dari segi kerja, kehidupan dan keluarga, syukurlah segalanya dikurniakan Tuhan dalam keadaan baik dan sempurna. Sejujurnya, Jee memang gembira dengan kehidupan sekarang ini.
"Apa yang Jee lakukan sekarang ini demi anak-anak Jee. Sungguhpun sekarang ini Jee banyak aktif dan berkawan dengan mereka yang melibatkan diri dengan aktiviti bikers, namun semua itu adalah sekadar abang dan kakak Jee saja. Pun begitu, esok lusa Jee tak tahu lagi.
"Untuk dunia seni pula, Jee memang ada menerima tawaran selepas drama Gelora Di Hati Sara. Namun, untuk sementara waktu ini, Jee mahu berehat seketika," jelas penyanyi yang terkenal dengan lagu Dia dan Teratai Layu Di Tasik Madu Ini.
Berkongsi cerita mengenai pengalamannya dengan aktiviti lasak, Fauziah Latiff yang sudah 11 tahun memegang status sebagai duta produk kecantikan SKII menegaskan lebih menggemari aktiviti di laut berbanding aktiviti dalam hutan.
"Menyertai program kesedaran tentang alam sekitar bukanlah pertama kali tetapi melibatkan diri dengan aktiviti yang lebih serius anjuran Emkay ini memanglah kali pertama. Namun, Jee lebih kerap menyertai program kesedaran tentang kehidupan laut.
"Banyak betul perkara yang dapat Jee pelajari dengan program ini. Jee juga bukanlah pertama kali berjumpa golongan orang asli. Cuma kali ini, Jee lebih mendalam mengenali mereka. Apa yang boleh Jee katakan, orang asli di sini lebih exposed dan sudah boleh terima kedatang orang luar.
"Sebelum ini, Jee pernah melawat perkampungan orang asli di Sabah dan Sarawak. Apapun, Jee kagum dengan orang asli di sini kerana pengetahuan mereka tentang alam memang amat mendalam. Mereka pun ada insiatif untuk memajukan diri dalam pembangunan tanpa merosakkan tempat asal mereka," jelasnya tentang penglibatan program APA (Artis Pencinta Alam).
Dalam pada itu, Jee juga sempat memberikan komen mengenai golongan artis kelas A yang agak sukar menyertai program sebegini berbanding dirinya.
"Sama ada artis itu kelas A, B atau apa sekalipun, Jee tak pernah ambil kisah akan hal ini. Sekiranya program itu bagus, Jee akan sertainya. Program APA ini merupakan satu permulaan yang bagus. Sebagai artis senior, kalau boleh penganjur perlu memikirkan cara untuk memikir golongan baru yang akan memonopoli dan memimpin negara pada masa akan datang.
"Saya hormat dengan penganjur mempunyai inisiatif sebegini. Namun, mereka perlu lagi menekankan lagi golongan yang akan mengambil ambil tugasan orang senior. Insya-Allah, selepas ini saya akan membantu mereka menyebarkan aktiviti bagus sebegini.
"Tentang artis berstatus A itu, terpulanglah pada masing-masing. Saya yakin, mereka pun ada cara lain untuk menunjukkan cara mereka cintakan alam. Yang penting, bagi diri Jee, inilah diri saya. Jee memang sukakan aktiviti luar. Jee juga suka aktiviti masuk ke kawasan kampung, masuk dasar laut dan masuk hutan," katanya.
No comments:
Post a Comment