Fauziah Latiff Terkenang Arwah Ayah Menjelang Raya
Foto Oleh: Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 31 OGOS 2011: Sambutan Syawal pastinya akan terusik tatkala terkenangkan insan tersayang yang telah pun tiada. Sama seperti insan lain, penyanyi popular Fauziah Latiff turut sama merasai suasana tersebut setiap kali menjelang Syawal.
Kenangan Aidilfitri bersama arwah ayah tersayang Sheikh Abdul Latiff Omar Bajrai sentiasa menjelma dimindanya. Mengerti hakikat setiap manusia hanyalah dipinjamkan di muka bumi ini oleh Ilahi jelas Fauziah Latiff, dia redha dengan ketentuan tersebut.
"Pastinya saya akan sentiasa merindui arwah ayah. Dia telah pergi pada tahun 2004 namun kenangan bersama sentiasa terpahat dihati. Tambah lagi apabila kedatangan Syawal, ayah merupakan orang yang paling sibuk mengenai persiapan raya. Selalunya saya akan mengemas rumah dengannya memandangkan kami ini tak ramai adik beradik.
"Tidak dinafikan kalau ada arwah ayah pastinya lengkap raya saya, tapi saya menerima ketentuan tersebut seadanya. Setiap yang hidup pastinya akan kembali kepadaNya. Saya bersyukur kerana masih mempunyai ibu yang masih sihat dan anak-anak di sisi," katanya dalam nada yang tenang mengimbas kenangan rayanya.
Sentiasa memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar roh arwah ayahnya tergolong di kalangan insan beriman, Fauziah Latiff atau Gee, juga selalu mengadakan kenduri arwah buatnya.
Bercerita mengenai sambutan raya, jelas pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini, dia masih lagi belum menentukan lokasi beraya kali ini kerana bergantung kepada situasi anak-anaknya.
"Saya masih lagi belum tahu sambutan raya kali ini di mana yang pastinya saya akan bersama ibu dan anak-anak. Jadi saya perlu menunggu program mereka dahulu sebelum menentukan di mana akan menyambut raya kali ini," katanya lagi.
Mengemari masakan lontong ibu di pagi Syawal sebagai juadah wajib setiap kali Aidilfitri, jelas penyanyi kelahiran Air Tawar, Perak ini , kesederhaan menyambut raya sentiasa diamalkannya.
I
No comments:
Post a Comment