Jee : Tidak bermusuh dengan bekas suami
SAMPAI saat ini, penyanyi yang cukup popular pada era 1990-an, Fauziah Latiff nampaknya masih selesa memegang status solo.
Kata Fauziah atau lebih mesra dengan panggilan Jee, 39, buat masa ini, fokusnya masih pada karier seni dan dua anak lelaki kesayangannya - Jeffri Joaquim Indot, 12, dan Jeremy Jay Indot, 10. "Bukannya saya tidak mahu mencari pengganti, cuma buat masa ini perkahwinan bukan menjadi keutamaan nombor satu.
"Saya juga tidak serik untuk berkahwin lagi dan bersyukur kalau bertemu jodoh semula. Kalau tidak ada jodoh, saya tetap teruskan kehidupan seperti biasa," katanya. Ditanya sama ada dirinya sering dihimpit golongan kenamaan atau VIP sejak berstatus solo, penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini memberitahu, dia memang mempunyai ramai kenalan lelaki.
"Ada juga orang yang baru nak kenal dengan saya. Sebagai wanita, saya tidak pernah menolak untuk berkawan dengan orang lain cuma untuk menjalin hubungan lebih serius itu belum masanya lagi kerana hati saya belum terbuka. Soal jodoh ini biarlah saya serahkan pada Tuhan," jelasnya.
Mengenai soal anak pula, Jee berkata, dua anaknya juga tinggal bersama bekas suaminya yang juga ahli perniagaan, Johan Indot.
"Kami dapat hak penjagaan bersama dua anak. Saya juga boleh berjumpa dengan anak kami pada bila-bila masa terutama pada musim cuti sekolah. "Saya juga saling berhubung dengan anak-anak pada bila-bila masa, sekali gus bertanya khabar dan perkembangan pelajaran mereka.
"Sekalipun sudah bercerai, hubungan saya dan bekas suami masih baik sampai sekarang. Apa gunanya, saya nak bermusuhan dengannya kerana yang penting masa depan anak-anak kami berdua terjamin kelak. "Apabila ada masa, saya juga membawa mereka bercuti dengan saya di pulau peranginan di negara ini," katanya. Jee bernikah dengan Johan di London pada 19 Jun 1997 dan bercerai pada Mac 2007. Ia perceraian kali kedua penyanyi jelita itu selepas pernah berkahwin dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada 1992 dan bercerai tiga tahun kemudian.
Jee ditemui pada sesi fotografi bersama lapan pereka fesyen yang terbabit sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 2009) di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, kelmarin. Lapan pereka fesyen itu ialah Azura, Jezmine, Sya Shaharani, Nurbella, Aizurawaty, Liza Azulkarnain, Diana dan Farlez.
Jee juga salah seorang penyampai pada ABPBH 2009 kelak dan bakal menggayakan rekaan salah seorang dari pereka fesyen itu.
Menyentuh perkembangan kerjaya lakonannya pula, Jee juga sudah membuktikan bakat lakonannya menerusi drama bersiri Gelora Di Hati Sara 2 terbitan Suhan Movies. Malah, drama itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada peminat.
Jee kini baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Gelora Di Hati Sara musim kedua. Musim pertama Gelora Di Hati Sara disiarkan menerusi saluran RTM kira-kira dua tahun lalu.
"Saya juga berminat untuk menyambung musim kedua drama ini kerana sambutan menggalakkan daripada peminat.
"Apa yang boleh saya katakan, watak Sara lebih mencabar pada musim kedua ini. Menariknya Sara berhadapan dengan pelbagai ujian hebat dalam hidupnya. Selepas satu, satu lagi dugaan perlu ditempuhinya dan lebih buruk daripada sebelumnya.
"Kali ini, Sara bukan saja berhadapan masalah dengan suaminya, Asrul (lakonan Rosyam Nor), malah dia juga perlu menangani kerenah madunya (Watie Elite). "Watak Datuk Rahim Razali juga lebih 'gatal' pada musim kedua ini," katanya.
Sebagai orang baru, Jee mengakui dia beruntung kerana ramai pelakon berpengalaman tidak lokek berkongsi ilmu dengannya sepanjang penggambaran drama bersiri itu.
"Saya juga tidak ada masalah untuk menerima teguran daripada pelakon berpengalaman dalam drama ini," katanya.
Gelora Di Hati Sara musim kedua mula menjalani penggambaran selama tiga bulan bermula 10 November tahun lalu dan berakhir pada 5 Februari 2010. Ia turut dibintangi Aida Radzwill, Dian P Ramlee dan Balkish.
Bagaimanapun buat masa ini, kata Jee, dia memutuskan ingin berehat seketika dari aktiviti lakonan. "Saya berbuat demikian bukannya saya sudah serik berlakon. Terus-terang, saya memang seronok berlakon. Saya juga berlakon kerana minat dan mencari pengalaman baru. "Saya akui bukan mudah nak berlakon sesuatu watak itu. Berbanding nyanyian, bidang lakonan lebih terperinci. Selain itu ia memerlukan 'energy' dan membabitkan teknik lakonan. Contohnya, saya perlu menjiwai karakter dan bagaimana untuk menghidupkan watak Sara itu. "Pada masa sama, saya bukan memilih sangat dari segi watak. Apa yang penting, ia ada kelainan dan lain dari diri sendiri. Malah, saya belum bersedia untuk melangkah ke dunia perfileman lagi," katanya.
Tidak lengkap jika tidak menyentuh perkembangan karier nyanyian Jee tahun ini. Kata Jee, dia akan tampil dengan single terbarunya, Ku Di Sini ciptaan Ross Ariffin dan lirik ciptaannya sendiri. Dia juga belum merancang untuk bikin album penuh lagi kerana trend pasaran sekarang berbentuk single.
"Single itu masih dalam proses rakaman dan ia bakal dijadikan lagu tema drama bersiri Gelora Di Hati Sara 2," katanya.
PROFIL JEE NAMA SEBENAR: Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff NAMA KOMERSIAL: Fauziah Latiff/Jee TARIKH LAHIR: 5 Disember 1970 ASAL: Air Tawar, Perak PROFESION: Penyanyi dan pelakon STATUS: Ibu tunggal ANAK: Jeffri Joaquim Indot, 12, dan Jeremy Jay Indot, 10. HOBI: Sukan lasak seperti selam skuba, berkuda dan jet ski ALBUM: Digamit Memori (1988), Di Gamit Memori (1988), Kau Merubah Segalanya (1989), Kini (1990), Tiada Noktah Cinta (1991), Gubahan Rindu Puisi Syahdu (1992), Koleksi Emas (1992), Epilog Memori Cinta (1993), Koleksi Emas Volume 2 (1993), Apa Sebenarnya (1994), Petikan Syahdu Fauziah Latiff (1995), Sahabat (1995), Petikan Syahdu Fauziah Latiff Vol. II (1996), Fauziah Latiff Dia (1997), Jee '98 ? Ku Pohon Kemaafan (1998), Fauziah Latiff No 1 (1999), Yang Lebih Kau Cinta ... Jee (2001), Di Sebalik (kompilasi - 2004), Pesona 2007 (With The Touch Of Jim Brickman) DRAMA BERSIRI/TELEFILEM : Sitkom Lontong (TV3), Kudrat Iman, Gelora Di Hati Sara, Gelora Di Hati Sara 2 TEATER: Muzikal Rubiah PRODUK: Duta SK II PENCAPAIAN: Penghibur Terbaik dalam Pesta Kingsway di RTM (1989), Juara Lagu (Teratai Layu Di Tasik Madu) sempena Anugerah Juara Lagu 1993 dan Penghibur TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 1992-1993.
No comments:
Post a Comment